Thursday, February 24, 2011

14,000 bakal saksikan konsert Maher

PENANGAN penyanyi Islamik, Maher Zain mendendangkan lagu popularnya, Insha Allah dan Thank You Allah cukup menambat hati ramai penonton.
Fenomena baru dicetuskan penyanyi kelahiran Tripoli, Lebanon tetapi membesar di Sweden ini berjaya menarik minat masyarakat Islam khususnya mendekati muzik sebagai unsur dakwah, bersatu dan paling penting, sentiasa mengingati Allah yang Maha Esa.

Selepas meraih sambutan menggalakkan daripada peminat dalam dua kunjungan sebelum ini, Maher sekali lagi berkunjung menjayakan konsert Maher Zain Live In Concert - Mercy To Mankind yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam Selangor selama dua hari bermula esok jam 7.45 malam.

Merancakkan konsert julung kali ini dianjurkan Inteam Records Sdn Bhd bersama Fiero Sdn Bhd dan kerjasama Awakening Entertainment (United Kingdom), Maher berkesempatan hadir ke Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur kelmarin. Sempena konsert ini, akhbar harian bahasa Melayu nombor satu ini tampil sebagai media rasmi. Sebanyak 200 tiket percuma disediakan untuk pembaca bertuah yang menjawab soalan dan memberi slogan menarik dalam peraduan disertakan.

Kata Maher, dia sangat teruja untuk menjayakan persembahan ini yang menjadi platform mendekati peminat berhibur bersamanya. Dia yang tiba di Kuala Lumpur Ahad lalu, berkata segala persiapan berjalan lancar dan tidak sabar menantikan persembahan yang mengambil masa hingga tengah malam.

"Sebanyak 12 hingga 13 lagu akan saya nyanyikan pada malam itu bersama persembahan pembukaan kumpulan Inteam. Persembahan saya bermula jam 10 malam dan ada kejutan menerusi lagu baru yang akan saya sampaikan. Saya sendiri berbangga menghiburkan peminat yang hadir nanti," katanya.


Bagi Maher yang menghabiskan masa lebih seminggu di sini akui, sambutan peminat terhadap lagunya suatu kejutan dan di luar jangkaan. Album debut, Maher Zain Thank You Allah meraih jualan melebihi 150,000 unit di sini.

Ini adalah kunjungan ketiga Maher selepas mengadakan showcase Oktober tahun lalu dan persembahan amal pada Disember lalu tetapi kali ini persembahan berskala besar. Penyanyi yang bakal bergelar bapa April ini, dijangka menyanyikan dua single baru, Freedom (membawa makna perjuangan) dan No.1 For Me (ditujukan kepada ibu).

No comments:

Post a Comment